📢 Article ini juga tersedia dalam English here
Bermula dengan hanya 3 botol di dapur rumah, kini menjadi jenama jamu dipercayai di seluruh Malaysia. Ikuti perjalanan PETANI dari permulaan yang sederhana hingga menjadi warisan yang membanggakan. Dari Muar ke seluruh negara – ini kisah kami.
🌾 Asal Usul yang Penuh Ranjau
Kisah PETANI bermula dengan kesusahan, ketabahan, dan harapan yang tidak pernah luntur.
Pengasasnya, anak sulung dalam keluarga, membesar dalam kemiskinan di Muar, Johor. Di usia seawal 12 tahun, beliau terpaksa berhenti sekolah. Arahan ayahnya keras tapi jelas:
“Kalau kau tak bawa balik 2 kilo beras setiap hari, kau jangan balik rumah.“
Tanggungjawab yang berat buat seorang budak kecil, tapi beliau pikul tanggungjawab itu dengan tabah demi masa depan adik-adiknya.
Dia bekerja untuk menyara hidup— bermula sebagai seorang buruh menanam padi di sawah padi Sawah Ring, kemudian menjadi penarik beca.
🎬 Titik Perubahan: Percikan Harapan
Pada usia 20-an, selepas berkahwin, beliau bekerja sebagai pemutar filem di Panggung Wayang Asiatic di Jalan Abdullah, Muar.
Suatu hari, perbualan dengan seorang lelaki mengubah takdirnya:
“Kau ni sampai bila nak hidup macam ni? Apa kata kau cuba jual Ma’ajun?“
Kata-kata itu membuka satu pintu harapan baru. Beliau mula bereksperimen membuat ma’ajun di dapur rumah dengan isterinya. Dengan hanya berbekalkan kuali kecil dan semangat yang besar, mereka melalui pelbagai kegagalan — sehingga akhirnya, lahirlah Ma’ajun PETANI.
🚶♂️ Langkah Pertama: 3 Botol Sehari
Produksi pertama bermula dengan menjual hanya 3 botol ma’ajun sehari. Dijual dari rumah ke rumah. Apabila habis, buat enam botol. Kemudian dua-belas. Hari demi hari, botol demi botol, nama PETANI mula dikenali.
Selepas habis waktu bekerja di panggung wayang, beliau akan buka meja kecil di hadapan panggung untuk menjual ma’ajunnya. Atas permintaan pelanggan, beliau kemudian menghasilkan produk kedua – Minyak Urat PETANI – dengan berbekalkan percubaan demi percubaan tanpa putus asa.
Hingga ke hari ini, pembungkusan asal Ma’ajun PETANI dan Minyak Urat PETANI masih dikekalkan — sebagai penghormatan dan simbol identiti warisan jenama ini.
🏭 Dari Usaha Kecil Ke Perniaagaan
Apabila penghasilan mencecah 12 botol sehari bagi setiap produk, PETANI mula berkembang secara stabil. Pada tahun 1972, syarikat ini didaftarkan secara rasmi sebagai Syarikat Zulkifli Bamadhaj.
Era 1970-an adalah zaman kegemilangan PETANI:
- 30 jurujual yang terdiri daripada lelaki dan wanita
- 10 buah kereta dan 5 buah van komersial
- Permintaan yang sangat tinggi sehingga bahagian pengeluaran tidak terkejar untuk buat pengeluaran
Pengasas dan isterinya bekerja tanpa henti hingga jam 3–4 pagi setiap hari demi memastikan produk yang segar dan berkualiti — tradisi yang masih diteruskan sehingga hari ini.
📉 Perniagaan Di Ambang Kejatuhan
Menjelang pertengahan 1980-an, pengasas mula memberi tumpuan kepada kebun dan sawit; prestasi PETANI mula merosot.
Syarikat yang dahulu berkembang pesat kini tinggal:
- Seorang jurujual
- Sebuah van
- Beberapa karton Ma’ajun PETANI dan Minyak Urat PETANI
PETANI hampir lenyap.
Pada tahun 1990, anak pengasas, Encik Zulkifli Khalid, yang ketika itu berusia 20 tahun, diberikan dua pilihan:
“Aku bagi kau dua pilihan. Sama ada kau ikut aku kerja kat kebun atau kau bawa van.”
Beliau memilih untuk bangkit.
Dengan hanya RM20 dan satu van buruk, beliau ke Kuala Lumpur. Setiap hari berjuang tanpa mengenal erti putus asa — berusaha mencukupkan jualan untuk mengisi minyak, membeli makan, dan untuk mencari tempat bermalam, sambil perlahan-lahan membina semula kepercayaan pelanggan, botol demi botol.
“Untuk terus hidup, kena jual. Untuk berkembang, tak boleh kenal erti putus asa.”
🔥 Kebangkitan yang Tak Disangka
Awal 90-an bukan satu tempoh yang mudah.
PETANI hanya dikenali di Johor dan sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. Di tempat lain, ramai menyangka PETANI adalah jenama beras atau minyak masak — malah ada yang sangka ia jenama dari Kedah kerana nama “Petani”.
Namun sedikit demi sedikit, PETANI terus berkembang dan mula menembusi pasaran FELDA, kedai runcit, dan kedai Jamu. Meskipun persaingan sengit, PETANI tetap bertahan, digerakkan oleh semangat ketabahan yang tidak pernah luntur.
Pada tahun 1998, satu langkah besar diambil. Apabila generasi baharu mula memimpin, PETANI mula berkembang. Dari berjualan di rumah, ia berubah menjadi sebuah perniagaan yang diiktiraf— lengkap dengan pensijilan dan dipercayai ramai. PETANI membuka kilang pertamanya yang didaftarkan di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (kini National Pharmaceutical Regulatory Agency) dan mula mengamalkan GMP (Good Manufacturing Practice), dengan harapan untuk memastikan setiap produk yang dihasilkan berkualiti tinggi dan kekal setia pada resipi tradisi— namun dengan jaminan sains moden dan keselamatan. Tanpa mesin dan tanpa bantuan sesiapa, Encik Zulkifli melakukan semuanya sendiri — dari pengeluaran, pembungkusan, jualan, hingga pemasaran. Seorang diri.
Kilang pertamanya ini memberi beliau semangat yang baru. Visi Encik Zulkifli jelas:
“Apa yang orang lain ada, PETANI mesti ada. Apa yang PETANI ada, takde siapa ada.”
Dari situ, PETANI mula berkembang sebagai pusat Jamu lengkap — bukan sahaja menjual Ma’ajun dan Minyak, tetapi rangkaian penuh produk herba tradisional.
🚀 Era Baru PETANI
Menjelang awal 2000-an, PETANI mula mengembangkan sayap dengan pengambilan lebih ramai pekerja:
- Tahun 2000: Pembantu pertama di bahagian pengeluaran
- Tahun 2007: Lebih 40 kakitangan di bahagian produksi pengeluaran tidak termasuk kakitangan jualan, dan pengurusan
Era ini juga menyaksikan kelahiran anak syarikat:
- Tahun 2006: Zulkifli Bamadhaj Marketing (M) Sdn Bhd (jualan dan pemasaran)
- Tahun 2007: Zulkifli Bamadhaj Beverages Industries Sdn Bhd (produk minuman kopi dan jus buah)
Bermula dari tahun 2003, jenama PETANI mula mencipta semula namanya:
- Mula berkembang ke seluruh negara
- Berjaya masuk ke rangkaian pengedar besar
- Memasuki rangkaian pasaraya utama seperti Mydin dan Tesco (sekarang dikenali sebagai Lotus’s)
Daripada sebuah jenama yang hanya dikenali di jalanan kepada nama yang dipercayai rakyat Malaysia – bukan sekadar terkenal dengan Ma’ajun PETANI dan Minyak Urat PETANI, tetapi sebagai pusat Jamu lengkap yang menggabungkan tradisi dan kesihatan moden. PETANI bukan lagi sekadar produk, tetapi warisan yang dipegang teguh oleh rakyat Malaysia.
🌿 Legasi yang Diteruskan Sehingga Kini
Kini PETANI berdiri teguh bukan sebagai sekadar jenama – tetapi sebagai bukti nyata usaha, ketabahan, warisan keluarga, dan kekuatan tradisi Jamu. Ini bukan sekadar kisah produk. Ini tentang ketabahan. Tentang warisan. Tentang sebuah keluarga Malaysia yang mengubah 3 botol sehari menjadi satu jenama dikenali di seluruh negara. Jenama yang dibina dengan tangan, dibawa dalam hati dan diwarisi dengan penuh kebanggaan.
Dari seorang anak yang terpaksa membawa pulang beras…
Dari menjual 3 botol sehari rumah ke rumah…
Dari hampir lenyap…
Kini menjadi legasi yang terus dipercayai generasi demi generasi.
Inilah PETANI. Warisan dalam setiap botol.
“Jangan kata kau tak boleh buat kalau kau belum betul-betul usaha dan cuba.“
— Encik. Khalid Ahmad Bamadhaj, Pengasas PETANI
📢 Terokai legasi PETANI dan ketchup rangkaian produk Jamu kami di sini here.